Adakah anda salah seorang dari mereka yang digelar jurujual? Walau apa sekalipun produk, perkhidmatan dan sebagainya, apa juga nama glamour yang diberikan contohnya sebarang jenis consultant, agent, pegawai pemasaran dan lain-lain, anda adalah seorang jurujual hakikatnya.
Berpuluh-puluh sebab kenapa seorang bergelar jurujual tidak disukai tetapi di bawah adalah senarai 7 sebab utama. Jika anda tergolong dalam golongan ini sila ambil perhatian (dan iktibar), berkemungkinan besar anda boleh jadi lebih berjaya dan menjadi antara yang terbaik dengan belajar tentang senarai di bawah.
1. Tidak ambil perhatian. Ini adalah sebab yang paling dinamakan pelanggan tidak suka jurujual. Jurujual terlalu fokus untuk menjual sehinggakan mengabaikan apa yang pelanggan atau prospek mereka mahukan, bermakna mereka gagal untuk menangani isu-isu utama pelanggan mereka. Masa adalah satu komoditi yang berharga untuk pelanggan dan apabila anda tidak mendengar anda tidak menghormati prospek anda.
2. Kurang pengetahuan. Sebagai seorang jurujual, pengetahuan asas berkenaan produk dan sebagainya sekurang-kurangnya perlu ada. Dengan itu, anda akan lebih yakin menjawab dan menyelesaikan isu-isu dialami pengguna dan akan timbul rasa hormat malah tidak mustahil akan wujud minat terhadapa apa yang anda tawarkan. Sebaliknya jika anda tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai produk, perkhidmatan dan sebagainya, anda akan kehilangan rasa hormat pelanggan anda, dan gagal melakukan jualan. Belajar dan terus mendalami tentang apa yang anda cuba yakinkan pengguna, anda akan lebih berjaya.
3. Bercakap terlalu banyak. Banyak jurujual berfikir bahawa mereka akan mendapat lebih banyak hasil jualan dengan lebih banyak bercakap. Cara yang betul dan berkesan adalah dengan hanya memberikan beberapa persoalan sebagai permulaan kemudian membiarkan prospek atau pelanggan anda bercakap atau memberikan penjelasan. Biarkan pelanggan anda bercakap supaya kemudian anda boleh membentangkan penyelesaian kepada masalah atau situasi mereka.
4. Jual kemudian abaikan. Ramai jurujual yang bijak menuturkan janji-janji manis, mengatakan mereka akan melakukan sesuatu dan tapi gagal membuat susulan. Jika prospek atau pengguna ingin diberikan masa untuk berfikir, anda perlu menetapkan tempoh untuk dibuat susulan jika tidak peluang anda sangat tipis. Begitu juga selepas berjaya melakukan jualan, kenali lebih dekat pelanggan atau prospek anda supaya mereka tidak rasa diabaikan begitu saja.
5. Kuat Berbohong. “Saya tidak kisah untuk menipu pelanggan dan saya akan memberitahu mereka apa saja yang saya perlu untuk mendapatkan hasil.” Percaya atau tidak, ini antara pengakuan jujur seorang bergelar jurujual. Sendiri mahu ingat.
6. Gagal memahami pelanggan. Apabila seorang wakil jualan bercakap terlalu banyak dan mendengar terlalu sedikit, mereka tidak mendapat pemahaman penuh tentang keadaan pelanggan mereka. Pelanggan lebih gemar dengan jurujual yang mengambil masa untuk memahami keperluan mereka, situasi, kebimbangan, dan sebagainya dan jurujual yang bersikap demikian adalah merupakan kumpulan individu yang paling berjaya.
7. Tidak mahu berkata ‘tidak’. Hampir semua orang dalam bidang jualan tahu pentingnya kegigihan. Walau bagaimanapun, terdapat satu garis halus antara kegigihan dan ugutan. Walaupun anda tidak perlu mengurangkan usaha anda selepas penolakkan kali pertama, adalah penting untuk anda tahu bahawa anda tidak akan mendapat apa-apa dengan mendesak orang. Apabila pelanggan atau prospek menganggap usaha anda adalah satu bentuk ugutan, mereka akan hilang keyakinan pada anda malah selalunya akan menimbulkan kemarahan.
Jujur, berterus terang dan ada perasaan hormat kepada orang ramai adalah kunci utama anda sebagai bakal jurujual yang berjaya. Jangan terus menimbulkan perspektif negatif orang ramai dengan profesion ini.
Aug 05, 2012 @ 15:20:25
Assalam..
Paling tak suka,jurujual suka ikut pelanggan ke mana2 pelosok kedai. Rimas pun ada.
Oct 10, 2012 @ 11:32:21
hehe standard jurujual mcm tu, standard kita pelanggan pn mmg tak suka jurujual ikut haha