KLANG: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan teman lelakinya, berusia 13 tahun, hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Shalina Sundiri Abdullah, 42, mendera mangsa dengan menyimbah air panas, memukul menggunakan getah paip dan kayu besar serta memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.

Berita Harian – 9 April 2009

SERI KEMBANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati disyaki didera bapa tirinya dengan lebih 30 kesan lebam dan cedera ditemui di badan serta kepala mangsa.

Kes itu adalah yang ketiga membabitkan kanak-kanak mati didera dalam dua bulan lalu. Pada 25 Februari lalu, Syafia Humairah Sahari, juga tiga tahun, meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.

Seminggu selepas itu, K Haresvarren, 18 bulan, meninggal dunia juga akibat didera dipercayai oleh suami pengasuhnya di Kayu Ara, Damansara dekat sini.

Berita Harian – 15 April 2010

against violence toward children Kempen UNICEF Malaysia   Katakan Tidak Kepada Penderaan Dan Keganasan Terhadap Kanak kanak

Setiap hari, keganasan menghantui berjuta kanak-kanak di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Kanak-kanak ini menderita termasuk keganasan fizikal dan mental, diabaikan serta serba kekurangan. Oleh kerana keganasan dan perbuatan tersebut selalunya dilakukan oleh mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak, ianya kerap kali cuba disembunyikan dari pengetahuan umum.

Berjuta-juta kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan saban tahun adalah bukti bahawa masyarakat gagal melindungi mereka.

Penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku. Perbuatan seperti itu mampu menjadi penghalang dan memberi kesan buruk kepada perkembangan hidup mereka dan juga terhadap keseluruhan masyarakat di masa akan datang umumnya.

  • Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dan hidup dengan selamat, jauh dari penderaan, kezaliman dan keganasan.
  • Kanak-kanak perlu dilindungi dari kesan keganasan domestik dan dibantu jika pernah terdedah kepada perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.
  • Penderaan dan keganasan kononnya sebagai hukuman sebenarnya melanggari hak mereka sebagai manusia.
  • Tindakan segera amat diperlukan untuk melindungi hak setiap kanak-kanak dan menamatkan semua jenis keganasan terhadap mereka.
  • Setiap individu boleh terlibat dalam menghentikan keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak.
  • Kita perlu bertindak dan mengubah mentaliti sosial terhadap keganasan kanak-kanak.
  • Setiap dari kita mampu bersuara dan melahirkan kebimbangan serta meningkatkan kesedaran bahawa penderaan kanak-kanak adalah sama sekali salah dan perlu dihentikan.

Setiap manusia lahir suci dari segala noda dan dosa, persekitaran dan masyarakat sekelilinglah yang membentuk disiplin dan sikap mereka dari kecil sehinggalah dewasa. Tidak perlu kehairanan seandainya di masa akan datang, masyarakat semakin huru hara dan tunggang langgang, kerana kita sendiri tidak cuba untuk memperbaiki masyarakat (iaitu diri sendiri).

Bertindak sekarang!

Kredit foto: unviolencestudy dan UNICEF Malaysia